top of page

PROFIL

Legasi Oakheart ditubuhkan pada bulan April 2012. Diasaskan oleh sepasang suami-isteri iaitu Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri dan Mohammad Hafiz Abdul Latiff, bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan jagat seni dan sastera di Malaysia. Penubuhan Legasi Oakheart turut bertujuan memberi peluang kepada penulis-penulis muda yang memiliki minat, bakat dan potensi melalui jalan yang tersusun untuk mendekati dunia penulisan dan penerbitan tanpa mengabaikan nilai jati diri dan agama.

pengasas

PROFIL SAYIDAH MU'IZZAH

PROFIL HAFIZ LATIFF

Sayidah Mu'izzah atau nama sebenarnya Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri merupakan Pengasas dan Pengarah Kewangan Legasi Oakheart. Penulis yang berasal dari Kuala Terengganu ini merupakan alumni Minggu Penulis Remaja 2007 dan alumni Akademi Sastera 2010 dan 2013 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau turut melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Sayidah Mu’izzah memulakan perjalanannya dalam dunia penulisan dan sastera sejak berusia 16 tahun yakni sejak karya-karyanya mendapat tempat di majalah-majalah dan akhbar-akhbar tempatan. Pada tahun 2010, cerpen beliau yang bertajuk Segregasi yang diterbitkan dalam majalah Al-Islam telah disenaraipendekkan sebagai calon pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009. Sehingga kini Sayidah Mu’izzah aktif dalam menghasilkan karya dalam genre puisi, cerpen dan skrip di media cetak tempatan. Beliau turut menghasilkan beberapa buah novel di syarikat penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan JS Adiwarna Sdn. Bhd. Sayidah Mu’izzah juga pernah menjadi kolumnis kritikan filem di majalah Tunas Cipta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2012 dan kini menjadi kolumnis kritikan filem di majalah Dewan Budaya terbitan DBP. Pada bulan Mac 2013, Sayidah Mu’izzah telah terpilih sebagai salah seorang peserta Kembara Penulis Muda ke United Kingdom anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Hafiz Latiff adalah nama pentas bagi Mohammad Hafiz Abdul Latiff. Beliau merupakan Pengasas dan Pengarah Urusan Legasi Oakheart yang ditubuhkan bersama-sama isterinya, Sayidah Mu’izzah. Beliau juga merupakan mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR 2002). Hafiz memenangi Hadiah Utama Kategori Puisi bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2010 dengan puisinya, Pantul. Novel sulungnya, Manifestasi Postmortal telah diterbitkan pada tahun 2011. Hafiz menulis dalam pelbagai genre iaitu puisi, cerpen, novel dan juga rencana. Karya-karyanya termuat dalam Antologi Penyair Muda Malaysia-Indonesia (2009), Antologi Res Judicata (HSKU 2010), Antologi Karya Sasterawan (2011), Antologi Puisi Elegan (2012), Antologi Cerpen, Proses Kreatif & Skrip Filem Pendek Cantuman Mimpi (2013), Zine Bukan Amigo Biasa (2014), Antologi Cerpen Bukan Dorman (2014), Zine Tiga (2015), Antologi Cerpen Binatang (2015), Zine Rasian (2015), majalah-majalah tempatan seperti Tunas Cipta dan akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia dan Berita Harian. Hafiz juga mengendalikan program motivasi dan kepimpinan, seminar kerjaya serta bengkel penulisan kreatif (puisi, cerpen, novel, terjah media). Sehingga kini, Hafiz membina kerjaya sebagai penulis, jurulatih, perunding kewangan, pengacara majlis dan deklamator.

bottom of page