top of page

[KAJIAN SASTERA] ‘CINTA’ SEBUAH RASA DARI KHALAYAK


Sinopsis ‘Cinta’

‘Cinta’ memaparkan kesinambungan lima kisah cinta yang berlainan. Cerita pertama antara Cikgu Elyas, seorang pesara guru dan Rubiah, janda yang ditinggalkan suami setelah berkahwin selama 30 tahun. Dua insan ini saling tidak mengenali. Rubiah baru membuka kedai makan dan telah didatangi oleh Cikgu Elyas yang mencari kedai milik Chong, tukang jam. Mula dari situ, perkenalan mereka semakin baik. Hari berikutnya, Rubiah mendapati ada yang tidak kena dengan Cikgu Elyas sehinggalah cucu Elyas, Amin memberitahu bahawa datuknya menghidap Alhzimer. Elyas tidak dapat mengingat hal yang berlaku sekarang tetapi hal lampau masih segar dalam fikirannya. Pada suatu hari, penyakit Cikgu Elyas semakin parah dan atas dasar kasih pada Cikgu Elyas, Rubiah sanggup menjaga Elyas.

Cerita kedua berlaku antara Dyan dan Dani, adik-beradik yang semakin jauh hubungannya kerana masing-masing tidak bersetuju dengan gaya hidup yang dipilih oleh mereka. Kerja Dani sebagai pelukis potret jalanan tidak disenangi Dyan manakala Dani tidak suka kakaknya bercinta dengan suami orang. Tanpa pengetahuan Dyan, Dani menghidap penyakit dan memerlukan penderma. Dyan mengambil keputusan mendermakan sumsumnya kepada Dani namun risiko yang dihadapi membawa maut.

Cerita ketiga antara pasangan suami isteri Harris dan Airin. Bagi Harris, Airin adalah segalanya akan tetapi Airin menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain dan meminta untuk berpisah. Harris tidak dapat menerima kenyataan itu. Dia berusaha untuk menerima kenyataan demi anaknya dan meneruskan hidup.

Cerita keempat antara pemilik syarikat penerbitan majalah, Azlan dan gadis kedai buku Azura. Pertemuan mereka di kedai buku tempat Azura berkerja berlaku sedikit selisih faham. Sejak itu, Azlan tertarik pada Azura dan mereka semakin rapat. Sewaktu pelancaran majalah terbaru syarikat Azlan, dia telah menyatakan sesuatu yang mengguris hati Azura dan gadis itu tekad menjauhkan diri. Menyesal akan perbuatannya, Azlan mencari Azura kemudian melamarnya.

Cerita terakhir antara Arriana gadis yang datang dari Johor mencari kekasihnya, Khalif dan Taufiq pemuda yang suka membantu. Selepas diragut, Arriana tidak punya hala tuju sehingga dia terbaca iklan di dalam akhbar dan mendapat idea untuk mengiklankan pencariannya di dalam Berita Sensasi. Taufiq pekerja di Berita Sensasi membantu Arriana. Pencarian mereka sia-sia. Suatu hari Arianna pengsan. Doktor mengesahkan Arriana telah hamil. Taufiq terkejut dengan berita itu. Arriana berjaya menemui Khalif tetapi lelaki itu sudah tidak boleh dipercayai lagi. Arriana mengambil keputusan untuk bersama Taufiq memandangkan pemuda itu menyintainya.

‘Cinta’ yang Sebenarnya

‘Seperti sebenarnya terjadi’ merupakan konsep realisme. Apa yang terjadi di sekeliling kita, itulah yang perlu ditampilkan tanpa pengarang perlu mengolah atau menambah atau membuang apa-apa sahaja bahan yang diambil. Realisme sifatnya bersahaja dan sederhana tanpa sebarang tokok tambah. Hal ini kerana, jika pengubahsuaian berlaku dikhuatiri apa yang cuba disampaikan tidak mencapai tahap yang dikehendaki.

Filem ‘Cinta’ hasil lakon layar Mira Mustaffa dan Ara bertemakan keajaiban cinta. Mengisahkan perasaan cinta yang terdapat dalam diri setiap individu. Secara dasarnya, cinta yang selalu dicanangkan punya keindahan tersendiri. Rasa yang boleh melengkapkan hidup dan mencipta bahagia. Hakikat sebenarnya, cinta tidak seindah yang disangka. Demi mendapatkan cinta, individu perlu berdepan dengan pelbagai komplikasi. Barangkali dari insan di sekeliling yang dikenali atau pun tidak dan juga diri sendiri. Malah, ada juga cinta yang memakan diri ataupun perpisahan yang menjadi kesudahan. Ini dapat dibuktikan dari salah satu babak dalam filem ‘Cinta’.

Sering kita kehilangan

Mengejar apa yang belum pasti

Hingga kita lupa meraikan

Satu-satunya perkara yang menjanjikan kebahagiaan

Cinta

Lahir dari naluri

Memanggil pun penat

Bersantai kesetiaan

Akhirnya tersimpul mati

Cinta (2006)

Petikan di atas merupakan bait ayat yang diberikan oleh Dyan kepada adiknya, Dani dalam sebuah surat sebelum meninggal dunia yang dipetik dari filem ‘Cinta’ arahan Khabir Bakhtia. Dari ayat itu, dapat dirasakan betapa Dyan menyesali perbuatannya kerana tidak menyokong Dani memilih hala tuju hidupnya. Setelah mendapat tahu Dani menghidap kanser pada peringkat akhir, Dyan nekad untuk memberikan tulang sum sumnya kepada Dani.

Pengarang cuba menyampaikan maksud cinta yang ada pada setiap individu dengan individu yang lain. Cinta tidak hanya tertumpu pada satu rasa sahaja sebaliknya ia terlalu subjektif untuk disampaikan. Setiap perhubungan; kekasih, suami isteri, adik-beradik, keluarga, jiran, masyarakat dan lain-lain lagi. Semuanya memerlukan rasa cinta. Kepelbagaian cinta di dunia ini merupakan isu yang cuba diketengahkan oleh pengarang.

Realisme muncul bagi menolak pemikiran romantisisme, sebuah pemikiran yang hanya menampilkan keindahan, kesempurnaan, dan kemewahan dalam kehidupan manusia. Semuanya mewah, indah dan suasana pengembaraan yang dipenuhi dengan peristiwa-peristiwa mengasyikkan. Bagi golongan kelas bawahan, mereka tidak dapat menerima pendapat itu kerana apa yang mereka lalui tidak seperti apa yang diperkatakan. Bukan itu sahaja, mereka juga berpendapat hal sedemikian rupa tidak akan berlaku sama sekali dalam kehidupan.

Watak Arriana seorang gadis yang datang ke Kuala Lumpur mencari kekasihnya Khalif; seorang gadis yang lurus tetapi berfikiran positif. Arriana menjangkakan, Khalif adalah penyelesaian kepada rasa cintanya. Semua sangkaannya tidak benar sama sekali apabila mendapati Khalif menipu dirinya. Lebih malang lagi, Arriana mendapat tahu dia telah hamil hasil hubungan terlarangnya bersama Khalif. Ini membuktikan apa yang dialami oleh Arriana menepati kehendak realisme.

Realisme berkehendakan penglibatan dan pemerhatian yang teliti, penerangan yang tepat dan pemilihan cerita tentang soal-soal yang menjadi lumrah dalam kegiatan hidup manusia sehari-hari sehingga mencapai apa yang dapat disebut sebagai kebenaran yang sejati (Mana Sikana, 1998). Kisah cinta dua darjat antara Azlan dan Azura masih berlaku dalam masyarakat moden hari ini. Perasaan malu Azlan untuk mengaku cintanya pada khalayak kerana Azura hanyalah seorang gadis kedai buku. Berbeza pula dengan Harris dan Taufiq yang sanggup melakukan apa saja atas dasar kasihnya pada seseorang. Walaupun situasi mereka berbeza, kedua-duanya masih lagi terus berharap pada insan yang mereka kasihi tidak kira dalam apa keadaan sekalipun. Di sini dapat kita lihat bahawa realisme sama sekali menyokong adanya perkara yang bertentangan seperti jahat dan baik, elok dan buruk, kaya dan miskin, tamak dan pemurah, cantik dan hodoh dan seumpamanya. Semua di dunia ini ada lawannya sendiri. Malah, pengakhirannya juga bukan semestinya seperti yang diharapkan. Kadang kala lebih teruk dari apa yang dijangkakan.

Plot ‘Cinta’ mudah difahami. Biarpun menggabungkan lima cerita, ia disusun dengan elok secara kronologi. Tidak seperti sesetengah cerita yang perlu menampilkan semua babak untuk diberitahu sebab dan akibatnya kepada penonton. Menerusi dialog sahaja sudah cukup menggambarkan betapa watak Rubiah sangat sengsara dengan perkahwinannya terdahulu. Selama 30 tahun, Rubiah tidak bahagia kerana mendapat suami yang tidak bertimbang rasa dan mengganggapnya tidak berguna. Kesetiaan dan ketaatan Rubiah sebagai isteri tidak dipedulikan. Malah suami Rubiah meninggalkannya begitu sahaja kerana perempuan lain.

Apa yang terjadi kepada watak Rubiah memanglah sesuatu yang dicipta sendiri oleh pengarang akan tetapi hakikatnya perkara seperti itu memang berlaku di alam nyata. Khalayak sedar akan hal itu kerana ia gambaran sebenar dalam kehidupan. Malah ada lebih dari apa yang pengarang ceritakan. Kesengsaraan, penderitaan, kekejaman dan pelbagai lagi rasa yang tidak menyenangkan antara rasa-rasa yang sememangnya wujud di alam nyata.

Begitu juga apa yang berlaku kepada Arriana; hamil hasil hubungan terlarang bersama Khalif. Hal keruntuhan akhlak yang berlaku dalam kelompok kita ini dan semakin parah hari demi hari. Kononnya, demi cinta segalanya dilakukan sehingga mengorbankan maruah diri dan agama. Realiti kadang kala mampu membangkitkan rasa dan memberikan visual yang kejam dalam kehidupan akan tetapi perlu diingatkan segala apa yang terjadi hasil daripada tindakan manusia kepada alam itu sendiri. Jika elok perilaku pemain nescaya hasil yang dimahukan juga seperti yang dikehendaki. Jika tidak, sebaliknya yang akan terjadi.

Dikecewakan cinta juga merupakan salah satu hal realiti yang terjadi dalam kelompok masyarakat. Pengarang telah memberikan rasa kekecewaan itu pada setiap watak di dalam cerita ini. Baik watak utama mahu pun watak sampingan. Contohnya, ketika Harris mendapat tahu isterinya Airin menjalinkan hubungan dengan lelaki lain, dia tidak dapat menerima hakikat itu dan berusaha sekerasnya memujuk agar Airin kembali kepadanya. Lebih menyakitkan lagi apabila Airin berpindah ke rumah kakaknya dengan membawa puteri tunggal mereka.

Begitu juga hal yang dialami oleh Dyan. Ditipu kekasih yang sudah beristeri serta kecewa dengan sikap adiknya yang hidup sebagai pelukis jalanan. Dyan cuba memahami kedudukan kekasihnya. Malangnya pengorbanan itu sia-sia. Rasa kecewa itu dilepaskan pada Dani. Setiap kali kecewa dengan kekasihnya, Dyan akan bertemu Dani dan mendesak Dani supaya mengubah gaya hidupnya. Dani pula akan menyuruh kakaknya supaya hentikan percintaannya. Lalu berlaku pertengkaran antara mereka kerana masing-masing tidak sukakan pembawakan cara hidup antara satu sama lain.

Dua situasi di atas membuktikan realisme juga boleh tercetus dalam keadaan yang tidak dijangka atau mengejut. Apa yang selama ini sempurna berubah rupa sama ada dengan sekelip mata; kisah Harris dan Airin serta kisah Dyan dan Dani atau secara beransur-ansur; kisah Dyan dan kekasihnya. Walaupun begitu, keadaan ini diterima khalayak kerana mereka memahami hukum alam ini bukanlah sesuatu yang boleh dijangkakan dan kejutan itu salah satu permainan dalam kehidupan yang memberikan kepelbagaian implikasi baik dan buruk.

Apa yang ingin disampaikan oleh pengarang, haruslah sama seperti apa yang terdapat dalam realiti. Segala apa yang dicedok dari keadaan di sekeliling haruslah sama. Baik dari segi tempat, masa, masyarakat dan segala aspek. Cuma perlu dikreatifkan sedikit agar tampak menarik asalkan tidak lari dari keadaan asal. Jika ada sebiji kotak bermakna kotak itu perlu disaksikan sifatnya, boleh dipegang, materialnya dari apa, serta kegunaannya. Dari kisah Harris, Arriana, Dyan dan Dani, semuanya dari realiti. Ditambahkan lagi elemen kreatif di dalamnya supaya tampak kesan dramatik bagi menonjolkan rasa kepada penonton.

“Sehari dengan orang yang kita sayang, walau macam mana

susah lebih bermakna daripada seumur hidup dengan orang

yang kita tak sayang.”

Cinta (2006)

Menggarap persoalan dan pemikiran kehidupan seharian merupakan sifat realisme. Ia perlu bersifat pragmatisme; melihat kebenaran itu seperti yang dinyatakan atau ditemukan (Mana Sikana, 1998). Menerusi ‘Cinta’, pengarang memberitahu penonton bahawa kekuasaan cinta itu perkara realiti. Dialog yang dituturkan oleh Rubiah kepada Amin ini menyatakan keperitan yang dilalui menjadi manis kerana adanya cinta. Bermula dengan tanggungjawab, Amin sanggup memikul tugas menjaga datuknya yang mengidap Alhzimer. Atas nasihat doktor, Amin diminta untuk menghantar Cikgu Elyas ke pusat rawatan demi membantu memulihkan penyakit datuknya tetapi Amin tidak sampai hati untuk berbuat demikian. Biarpun insan itu memberi kesusahan kepada kita namun ia bukanlah apa-apa berbanding membantu insan yang tidak langsung menghargai pemberian kita. Dari cinta, hal yang sukar akan disenangkan.

Selain itu, perkara pokok untuk aliran ini mestilah sezaman dengan pengarang atau membicarakan hal-hal semasa masyarakat. ‘Cinta’ menampilkan tema yang biasa pada pendengaran umum. Perbezaannya dengan kisah cinta yang lain adalah pembawakan struktur cerita; latar, watak, teknik penceritaan, dan bahasa. Pengarang sengaja mewujudkan watak-watak mengikut peringkat usia. Di sini, penonton dapat menilai jaluran rasa yang ditelusuri oleh semua fasa umur. Mereka punya cara tersendiri untuk menzahirkan rasa.

Selain itu, pengarah perlu jujur apabila menghasilkan karya supaya masyarakat jelas dengan objektif pengarang dalam bentuk yang fotografik.

“Isteri bukan hak milik tapi anugerah.”

Cinta (2006)

“Bukan senang hendak dapat teman hidup yang sanggup

terima buruk baik kita, sanggup berkorban untuk kita,

sanggup hidup bersama sampai ke akhir hayat.”

Cinta (2006)

Cikgu Elyas seorang insan yang penyayang dan sangat menghargai insan disekelilingnya. Dialog-dialog yang dituturkan oleh Cikgu Elyas di atas sudah menampakkan sikapnya itu menyenangkan semua pihak bertepatan dengan kewibawaannya selaku guru. Dia gemar menolong sesiapa sahaja yang memerlukan selagi terdaya. Pesara guru Bahasa Inggeris ini terlalu banyak sumbangannya kepada masyarakat di tempat tinggalnya. Oleh itu, apabila mengetahui Cikgu Elyas menghidap Alzhimer, mereka tidak keberatan untuk tengok-tengokkan keadaannya apabila cucunya, Amin mencari rezeki. Malah, ada yang sanggup berolok-olok demi melayani karenah Cikgu Elyas. Seperti tukang gunting rambut yang berlakon menggunting rambut Cikgu Elyas. Setelah selesai ‘menggunting’ rambut pesara guru itu, dia akan mengejutkannya kerana tabiat Cikgu Elyas tertidur ketika mengunting rambut.

Rasa kasih akan pesara guru ini membuatkan mereka yang pernah menerima jasa darinya tidak lokek untuk menjaga Cikgu Elyas. Semua ini pengarang lahirkan dengan perasaan jujur dan ikhlas dari dirinya kerana menurut pengarah, Khabir Bhatia, cetusan idea pembikinan filem ini kerana pengalaman ini telah dialuinya sendiri dan juga kisah-kisah dari insan yang sangat rapat dengannya; ‘The Making of Cinta’, 2006.

Peranan realisme adalah untuk menyedarkan masyarakat melalui kritikan yang dibawanya; mengkritik sikap dan perbuatan masyarakat semasa. Ia bertindak sebagai jurucakap masyarakatnya. Aliran ini mengaplikasi bahan yang sedia ada supaya bahan itu sahaja sudah cukup menjelaskan latar dan suasana. Realisme mengambil berat segenap struktur termasuk dialog, latar dan cara penyampaiannya.

“Kadang-kadang, orang yang paling kita sayang adalah

orang yang paling susah untuk disayangi.”

Cinta (2006)

Rubiah berkata demikian kepada Dyan, pelanggan kedai makannya apabila melihat pertengkaran antara Dyan dan Dani di kedai makannya. Ini membuktikan salah satu situasi yang terjadi di dalam masyarakat kita. Selain itu, antara babak lain yang terdapat dalam filem ini sewaktu sesi pelancaran majalah terkini syarikat Azlan, dia telah malu untuk menyatakan siapa Azura dalam hidupnya sewaktu ditanya oleh wartawan. Ini menyebabkan Azura berkecil hati dan bertindak menjauhkan diri dari Azlan. Dua situasi ini bukan perkara asing dalam masyarakat hari ini. Penggambaran kejadian atau peristiwa dilaksanakan dengan teliti. Namun, segala yang digambarkan itu, dikemukakan secara wajar, iaitu tidak berlebihan dan tidak juga dikurangkan (Dharmawijaya, 1988).

Kesimpulan

‘Cinta’ sebuah filem yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Tema yang relevan untuk masyarakat hari ini yang semakin kurang rasa cinta antara manusia. Intinya juga turut mengisahkan apakah akibat kegagalan mengawal perasaan indah itu. ‘Cinta’ bukan sahaja menampilkan rasa itu semata tetapi perasaan lain juga seperti ikhlas, kejujuran, kesetiaan, taat, hormat, saling memahami, telus dan percaya. Watak-watak dalam ‘Cinta’ sangat jelas objektifnya dan tidak perlu tunggu terlalu lama untuk sampai ke arah matlamat yang mereka mahukan. Biarpun ‘Cinta’ dikisahkan secara kronologi, pengarang berjaya mengarapnya dengan baik dan tidak bosan. Hanya ada satu atau dua babak tidak diperlukan kerana tidak penting akan keberadaannya di situ.

Kesederhanaan ‘Cinta’ merupakan kekuatan filem ini. Inputnya cukup mudah untuk difahami serta tidak membebankan fikiran; sangat sesuai sebagai hiburan. Demikian pula masyarakat zaman sekarang lebih gemar menjadikan filem sebagai medium hiburan berbanding menjadikannya sebagai satu bentuk ilmiah. Jika mahu sampaikan pemikiran, pesanan atau apa sahaja, sampaikanlah secara langsung supaya mudah difahami dan diterima ramai. Ekoran itu filem ini telah melakukan cubaan terbaiknya untuk berbuat demikian. Tema, watak, plot, dan latar yang diwujudkan seperti itulah yang ada pada masa kini. Maka, tidak hairanlah jika ‘Cinta’ punya peminat tersendiri kerana menampilkan realiti masa kini.

Perasaan cinta itu rasa yang wajib ada dalam setiap individu. Baik kanak-kanak, remaja, dewasa atau yang tua. Golongan-golongan ini punya cara tersendiri untuk menyampaikan cinta mereka. Pengarang berjaya melakukannya mengikut kelompok masyarakat di negara ini. Kepelbagaian isu yang tercetus semenjak akhir-akhir ini turut dimuatkan sebagai konflik dalam filem. Misalnya, penyakit tua yang dihidap oleh Cikgu Elyas, ketelanjuran Arriana dengan kasih sayang yang membabi buta, pergolakan rumah tangga angkara orang ketiga antara Harris dan Airin, sikap malu Azlan untuk meluahkan cintanya, persengketaan adik-beradik kerana tidak sehaluan pendapat antara Dyan dan Dani serta beberapa lagi konflik dalam filem ini. Konflik filem ini sudah biasa diketahui ramai namun garapan serta olahan yang menarik membuatkan penonton tidak jemu malah pada babak tertentu seakan terbuai dengan filem ini.

Kelima-lima cerita bergerak dengan sempurna. Di bahagian pengenalan semua watak dikenalkan dengan objektif mereka, pada bahagian klimaks semua watak tadi terus digerakkan seiring dengan misi mereka biarpun mendapat kekangan yang sukar dan penyelesaian turut diselesaikan dengan bersahaja tetapi menarik dan kukuh sebabnya mengapa ia berakhir begitu. Pengarang tidak menyudahkan ceritanya dengan kegembiraan semata sebaliknya ada juga dengan kesedihan dan kepayahan. Semuanya kerana ada sebab dan akibat yang kukuh dan logik. Walaupun terpaksa menggerakkan banyak watak, ia tersusun elok dan punya kelebihan dan kekurangan tersendiri. Ini bermaksud, pengarang menganalisa cerita dan watak-wataknya.

‘Cinta’, sebuah kisah tentang kasih. Walau sehebat mana pun zaman, sejauh mana manusia mengejar impian, itu semua kerana wujudnya cinta dalam jiwa. Dek cinta, hidup ini semakin lengkap biarpun kesudahannya tidak seindah yang diharapkan. Itulah yang cuba disampaikan pengarang. Realiti perasaan manusia tidak kira di mana, siapa, bagaimana, mengapa dan kenapa, cinta akan menjelma.

Bibliografi

Dharmawijaya, Dunia Puisi dalam Penelitian dan Pengajaran. Fajar Bakti Sdn. Bhd.,

Petaling Jaya, Selangor, 1988.

Mana Sikana, Drama-drama Melayu Moden 1940-1969. Dewan Bahasa dan Pustaka,

Kuala Lumpur, 1998.

Hizairi Othman, Kreativiti dalam Penciptaan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,

2000.

ENTRI UTAMA
ENTRI TERKINI
ARKIB
TAG
No tags yet.
IKUTI KAMI
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page