top of page

[RESENSI FILEM] REVOLUSI SENI DALAM TARIAN FLASHMOB


“When the mob speaks, everyone listens,”- Sean

Bercakap tentang rangkaian francais filem Step Up, spontan mengingatkan kita kepada kelincahan gerak tari flashmob dalam ketiga-tiga sekuel filem tersebut. Kali ini Step Up tampil bertenaga dalam filem terbaru, “STEP UP REVOLUTION” yang menampilkan pembaharuan seni halus dalam tarian flashmob; daripada keriangan gerak pantas dansa kepada flashmob yang tepu jiwa dan pemberontakan seni yang memprotes.

Filem terbaharu arahan Scott Speer ini mengisahkan tentang perjuangan sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka “The Mob” yang sering tampil di khalayak secara mengejut (seperti kelaziman kumpulan penari-penari flashmob) secara terancang demi menarik perhatian orang awam dengan satu tujuan; untuk mencapai hits 10 juta penonton melalui saluran mereka di YouTube demi memenangi wang tunai US$ 10 juta.

The Mob yang diketuai Sean lakonan Ryan Guzman bersama rakan-rakannya yang lain bergiat aktif di sekitar South Beach di Miami demi mencuri perhatian orang ramai dan media tempatan seterusnya mempopularkan identiti samar mereka demi melonjakkan jumlah subscribers di YouTube. Perjuangan anak muda ini mewakili impian yang ditentang, cita-cita yang ditolak dan kehendak yang dicerca. Dalam dunia realiti sendiri, tarian flashmob sering dipandang dari sudut negatif oleh masyarakat kerana sering dikaitkan dengan sentimen gangguan awam dan budaya negatif.

Emily Anderson (Kathryn McCormick) pula merupakan anak hartawan terkenal yang tamak, mempunyai impian besar untuk menyertai kumpulan penari ballet Wynswood, terperangkap antara pilihan untuk mempertahankan impian sendiri menjadi penari profesional atau menuruti kehendak bapanya untuk meneruskan legasi perniagaan perhotelan milik syarikat hartanah bapanya.

Sentuhan seni mendominasi layar perak sepanjang filem ini berlangsung selama 1 jam 39 minit. Bermula dengan tarian flashmob di jalanan South Beach Miami, di dewan bankuet, di pameran seni dan pengakhiran di majlis pecah tanah projek perhotelan Miami, setiap momentum tarian pasti diingati penonton. Kejutan demi kejutan diberikan kepada penonton untuk menantikan kreativiti demi kreativiti yang dilakukan The Mob dalam setiap flashmob mereka.

Plot dirumitkan dengan kehadiran Emily sebagai ahli baru The Mob yang mengundang rasa kurang senang Eddy (Misha Gabriel), pengasas The Mob, yang juga merupakan kawan baik Sean semenjak kecil. Kehadiran Emily malah mengundang prasangka ahli-ahli The Mob apabila mereka mendapat tahu Emily merupakan pewaris tunggal syarikat hartanah Anderson yang bakal mendirikan hotel mewah di atas tapak perniagaan dan petempatan komuniti Miami; tempat tinggal Sean dan Eddy semenjak mereka masih kecil.

Dari titik inilah seni dibaharukan. Flashmob diberikan nafas baharu dan direvolusikan daripada seni kelas bawahan kepada seni yang berjiwa besar. Flashmob direvolusikan oleh The Mob sebagai medium protes dan pemberontakan. Flashmob dipositifkan sebagai satu bentuk seni halus, bukan semata-mata tarian yang mengujakan dan menyeronokkan anak muda. The Mob membuktikan bahawa mereka hadir bukan semata-mata mahu mencuri perhatian, tetapi mereka mewakili suara komuniti, suara hati remaja yang responsif terhadap politik, ekonomi dan sosial lingkungan mereka. Flashmob sekelip mata mengubah sorot pandang penonton daripada seni koreografi jalanan kepada seni protes apabila Emily menuturkan “Enough with performance art... It's time for protest art.”

Tidak perlulah kita persoalkan tentang aspek koreografi flashmob dalam Step Up. Meskipun tarian flashmob dalam Step Up tampak klise kerana tiada bezanya seperti siri Step Up yang sebelum ini, namun setiap gerakan dan tarian yang dipamerkan dalam Step Up Revolution pasti mengujakan penonton, seolah-olah menampakkan filem seperti gabungan siri beberapa muzik video flashmob yang digabungjalinkan menjadi sebuah cerita.

Step Up pasti tidak mengecewakan. Filem ini mengajar erti perjuangan dalam seni dan mempersembahkan seni dalam konteks yang lebih luas iaitu seni tari flashmob. Runut bunyi yang melatari filem ini juga menepati cita rasa cerita. Perjuangan seni yang digagaskan The Mob juga mengajar penonton untuk menjadi lebih berani dalam bercita-cita, kerana kadang kala cita-cita mampu dicapai sekiranya kita berani melanggar syarat hidup dan mengikut rentak sendiri.

ENTRI UTAMA
ENTRI TERKINI
ARKIB
TAG
No tags yet.
IKUTI KAMI
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page