[KAJIAN SASTERA] EMANSIPASI WANITA DALAM NOVEL-NOVEL TERKENAL TAHUN 1920-AN
Kita sedia maklum bahawa taraf seorang wanita pada zaman dahulu jauh berbeza dengan taraf wanita zaman sekarang baik dari segi pendidikan mahupun hak bersuara. Apatah lagi dalam soal memilih calon suami, seorang wanita langsung tidak dipedulikan perasaannya. Wanita zaman dahulu terpaksa berkahwin dengan lelaki yang dijodohkan oleh keluarga mereka walaupun mereka tidak suka kepada lelaki tersebut. Malahan, hak wanita untuk mendapatkan pendidikan telah dinafikan.
Hak wanita zaman dahulu termasuklah hak memilih calon suami telah digambarkan dalam novel-novel terkenal pada tahun 1920-an. Dua buah novel yang sering diperkatakan ialah Hikayat Faridah Hanum karya Syed Syeikh al-Hadi (1925) atau tajuk asalnya Hikayat Setia Asyik kepada Makhsyoknya, dan novel Iakah Salmah? (1929) karya Ahmad Rashid Talu. Namun, dalam kedua-dua buah novel ini, emansipasi wanita diangkat sebagai temanya.
Emansipasi menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 bermaksud pemberian hak yang sama seperti lelaki kepada wanita.
Berlatarkan Mesir, Iskandariah dan Sudan, Syed Syeikh al-Hadi mencipta watak Faridah Hanum sebagai seorang wanita yang berpendidikan tinggi dari Perancis. Hal ini jauh menyimpang daripada nasib wanita pada ketika itu. Watak ini juga digambarkan sebagai seorang gadis moden berketurunan bangsawan. Faridah Hanum mencintai seorang pemuda yang bernama Syafik Afandi. Namun, dia dipaksa berkahwin dengan sepupunya, Badarudin Afandi yang memiliki tabiat yang buruk seperti kaki judi, pemabuk dan tidak bertimbang rasa. Perkahwinan mereka tidak bahagia, malah Faridah Hanum kekal dara sehinggalah mereka bercerai. Perceraian ini membawa kepada penyatuan cinta antara Faridah Hanum dan Syafik Afandi seterusnya membuktikan emansipasi dalam novel ini. Faridah Hanum bebas memilih kehidupannya, pada akhir cerita.
Ada pakar kesusasteraan berkata, jika dibandingkan antara Hikayat Faridah Hanum dengan Iakah Salmah karya Ahmad Rashid Talu, novel Iakah Salmah lebih signifikan dengan dunia kesusasteraan Melayu kerana novel ini berlatarkan Tanah Melayu. Ahmad Rashid Talu atau nama sebenar beliau Ahmad bin Muhammad Rashid Talu mencipta watak protagonis yang bernama Salmah, seorang gadis Melayu berusia 15 tahun, yang mula-mula mengikut aturan Eropah dan pakaian Eropah yang sangat radikal. Salmah juga merupakan pelajar lulusan Junior Cambridge. Dalam Iakah Salmah? kebebasan seorang wanita juga ditonjolkan melalui kebebasan memilih jodoh dan hak untuk mendapat pendidikan. Salmah bercinta dengan seorang pemuda yang bernama Zainin dan akhirnya berkahwin dengan Zainin.
Kedua-dua novel ini telah memecahkan tembok kekolotan fikiran orang Melayu pada zaman itu bahawa tugas wanita hanyalah menerima jodoh yang ditentukan oleh keluarga, menguruskan rumahtangga dan tidak berhak mendapat pendidikan. Hikayat Faridah Hanum dan Iakah Salmah? menggambarkan wanita sebagai watak yang memiliki peribadi yang unggul dan intelektual.