[RESENSI FILEM] SAVING PRIVATE RYAN
Saving Private Ryan (selepas ini akan ditulis sebagai SPR – bukan Suruhanjaya Pilihanraya) telah tamat diulang tonton buat pertama kalinya pada lewat tahun ini. Rasa ingin menontonnya tiba-tiba membuak tatkala mendengar cerita perkisahan daripada Puan Nisah Haron pada lewat Bengkel Pemantapan Karya Alumni MPR di Dewan Bahasa dan Pustak tahun lalu. Sebenarnya, betapa sukar untuk mendapatkan filem berprofil tinggi ini di pasaran. Akhir sekali, ikhtiar yang terakhir barangkali, YouTube menjadi domain carian utama untuk menonton filem ini. Ternyata, di YouTube anda boleh menontonnya walaupun tiada sari kata.
Pada awal perkisahan SPR ini, seorang veteran perang (lakonan Harrison Young) melawati perkuburan prajurit Perang Dunia Kedua dan mengimbau kenangan semasa berlabuh di Pantai Omahama yang menjadi kubu tentera Jerman. Ketika ini, penonton akan dihidangkan oleh babak yang begitu dramatik dan menjanjikan kegusaran dalam hati kerana babak menggempur kubu pihak lawan (Jerman) oleh batalion tentera Amerika telah menerima serangan balas daripada pihak musuh. Ketika itu, askar-askar dibom dan hancur bersepai, ditembak tepat di kepala dan di dada, malahan penonton akan dapat melihat dan merasai raungan dan rintihan kesakitan yang dialami oleh askar yang tercedera. Dalam babak ini, imej janaan komputer (CGI) yang digunakan oleh produksi filem ini ternyata memberikan impak yang sungguh mendalam kerana menunjukkan ketelitian pada babak ini. Namun demikian, babak yang boleh dianggap sebagai ‘penguji jantung’ ini hanya pada awal filem ini sahaja.
Menerusi filem ini, pengarahnya iaitu Steven Spielberg ternyata tidak mengecewakan peminatnya melalui kreativiti yang ditonjolkan. Berkolaborasi dengan penulis lakon layar terkenal Hollywood, iaitu Robert Rodat jelas membuktikan filem pertempuran ini memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat Amerika Syarikat serta penduduk dunia ini kepada peristiwa Perang Dunia Kedua yang lalu. Steven boleh dikatakan berjaya menjadikan SPR sebagai sebuah filem bercorakkan pertempuran ini antara yang terbaik dalam dunia perfileman Hollywood, walaupun ada yang mengatakan Black Hawk Down dan Battleship sebagai filem tempur yang terbaik.
SPR telah membariskan beberapa orang pelakon terkenal di Hollywood seperti Tom Hanks, Matt Damon, Vin Diesel dan banyak lagi. Penghayatan watak yang dibawa oleh para pelakon ini cukup memberangsangkan. Sebagai contoh, Tom Hanks sebagai ketua batalion berjaya membimbing batalionnya untuk menggempur kubu Jerman untuk menyelamatkan Ryan yang ditahan.
Sepanjang perjalanan untuk menyelamatkan Ryan, pasukan penyelamat ini terpaksa melalui satu perjalanan yang sungguh mencabar dan menggetirkan seperti terpaksa menghadapi serangan tembakan hendap pihak musuh, runtuhan-runtuhan bangunan serta kematian beberapa anggota yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan misi tersebut.
Secara keseluruhannya, SPR menghidangkan satu kisah yang begitu sarat dengan emosi dan mainan perasaan. Susunan plot yang licin, sentuhan keramat Steven Spielberg dan garapan kreativiti Robert Rodat menjadikan SPR ini sebuah filem yang sesuai ditonton oleh setiap lapisan masyarakat.
Pendapat peribadi penulis, industri perfileman negara yang diterajui oleh FINAS melihat SPR sebagai filem yang menyumbang inspirasi sekiranya mahu menghasilkan sebuah filem bercorakkan pertempuran. Industri perfileman negara kita mempunyai ramai penulis lakon layar yang berbakat dan kreatif serta sutradara yang mampu menggubah jalan cerita yang menarik. Dengan bantuan teknologi yang ada sekarang, tidak mustahil Malaysia boleh menghasilkan sebuah filem tempur setanding SPR.
NOTA KAKI:
SPR dinilai sebanyak 4 bintang daripada 5 bintang.
Mohon maaf sekiranya terdapat kesilapan fakta dan kekurangan dalam ulasan ini.