[RESENSI FILEM] HOORE! HOORE! MENGGAMIT KECERIAAN DAN KEMERIAHAN MENERUSI LAGU-LAGU SUDIRMAN
5 BINTANG! Begitulah penilaian peribadi penulis terhadap filem terbaru buah tangan pengarah ternama, yang juga pernah mengarahkan filem termahal Malaysia, Puteri Gunung Ledang, Saw Teong Hin. Filem terbitan AstroShaw dengan kerjasama Real Films ini menyajikan penonton dengan rencam emosi, wacana, dan persoalan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan filem yang penuh dengan keceriaan ini seakan-akan pengubat duka indsutri perfileman Malaysia yang sekian lama kemarau dengan filem-filem yang punyai ‘soul’ memandangkan lewat belakangan ini filem-filem dengan latar cerita berkisahkan bohsia, gangster, nombor ekor, dan hantu (meskipun dengan label komedi seram atau komedi romantik) sering mendominasi pawagam-pawagam tempatan.
Filem Hoore! Hoore! yang mula ditayangkan sejak 24 Mei yang lalu merupakan sebuah filem muzikal terbaru selepas filem-filem muzikal yang lain seperti Main-Main Cinta (2005), dan Magika (2010). Namun sentuhan muzikal dalam naskhah Hoore! Hoore! luar biasa sekali kerana diinspirasikan oleh lagu-lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad, kebetulan tarikh tayangannya berdekatan dengan tarikh ulang tahun kelahiran seniman berjiwa rakyat itu.
Lagu-lagu seperti Bercanda Dipasiran Pantai, Basikal Tua, Hoore! Hoore!, Salam Terakhir, Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar, Ayah dan Ibu, Pelangi Petang, One Thousand Million Smiles, Anak Gembala dan Terasing , Balik Kampung signifikan dengan setiap babak yang dipaparkan. Ditambah lagi lagu-lagu tersebut menggamit nostalgia penonton terhadap lagu-lagu Sudirman, sehingga mampu membuatkan penonton ikut menyanyi bersama-sama di dalam pawagam.
Hoore! Hoore! bukanlah sebuah naskhah berat. Filem ini mempunya cerita yang biasa, malah jalan ceritanya dapat dijangka tetapi digerakkan oleh watak-watak yang berjiwa yang menjadikan ceritanya mempunyai kelas tersendiri yang tiada pada kebanyakan filem Melayu.
Filem ini mengisahkan seorang gadis genit bertubuh gempal, Nurul Aiman lakonan Farah Nazirah, yang bercita-cita besar untuk menyertai rancangan realiti TV, Ratu Idola, iaitu sebuah pertandingan ratu cantik. Dia walau bagaimanapun mendapat tentangan hebat daripada masyarakat sekeliling yang memandang serong akan niatnya itu, malah mendapat saingan daripada watak antagonis utama iaitu Rita (Kilafairy) yang sering mengucarkacirkan hidup Aiman dan turut meminati Johari.
Aiman juga dalam diam mencintai rakan yang juga merupakan ketua pelajar di sekolah iaitu Johari (Akim) dan begitu juga dengan Johari yang mempunyai perasaan yang serupa. Johari sering membantu menguatkan semangat Aiman dan memberikannya dorongan pada saat-saat dia dipandang serong kerana kemampuannya dan penampilannya. Nenek Zaimah (Fauziah Nawi) pula bertindak sebagai pembantu Aiman menyertai pertandingan ratu cantik tersebut sepanjang ketiadaan ibu bapa Aiman kerana mengerjakan umrah di Mekah.
Konflik bermula apabila hubungan antara Aiman dan Johari tidak disenangi oleh rakan baik Aiman, Lana dan Azadan. Penyertaan Aiman dalam pertandingan Ratu Idola pula mendapat tentangan yang hebat daripada ibu bapa Aiman, Lia (Adibah Noor) dan Hairil (Harun Salim Bachik) sebaik sahaja pulang dari Makkah. Kematian Nenek Zaimah mengudang rasa bersalah Aiman menjelang pusingan final pertandingan Ratu Idola.
Hoore! Hoore! mengajar kita tentang keyakinan diri, membebaskan diri daripada belenggu, setiakawan antara sahabat, percintaan nan sederhana, kederhanaan dalam mendidik anak-anak dan ikatan kekeluargaan yang menjamin kesejahteraan hidup.
Farah Nazirah, meskipun masih baru dalam membawakan watak Aiman, kelihatan sungguh hidup dan menghiburkan, dan berjaya membina keyakinan diri pada akhirnya. Cerita ini digerakkan oleh falsafah resmi matahari; hidup bermanfaat untuk orang lain yang sering ‘diingatkan’ oleh watak-watak dalam filem ini. Malah, sebaik sahaja keluar melangkah daripada pawagam, penulis mengenangi beliau sebagai Aiman Si Debab, bukan Farah Nazirah.
Watak Johari lakonan Akim juga bersahaja. Walau bagaimanapun, sebagai percubaan pertama dalam filem, lakonan Akim tidak sempurna dari sudut emosi, terutama dalam babak-babak yang menuntut penghayatan yang tinggi. Namun watak Johari tidak mengecewakan.
Lakonan Fauziah Nawi dan Adibah Noor juga dalam kelas yang tersendiri. Paling tersentuh ialah babak di mana Lia menghentam teruk ibu mertuanya itu kerana membiarkan anak daranya menyertai pertandingan ratu cantik. ‘Hubungan’ antara watak Lia dan Nenek Naimah terjalin kemas dan sarat emosi sehingga mampu meruntun jiwa penonton.
Harun Salim Bachik juga tampil dengan lawak yang bersahaja. Walau bagaimanapun, watak Cikgu Murshid dan dan Rita dilihat tidak begitu menonjol dalam cerita. Kedua-dua watak kelihatan kurang berfungsi sebagai pencetus konflik. Walau bagaimanapun, kegarangan Cikgu Murshid dan kegedikan Rita menyelamatkan keadaan.
Dari sudut skor bunyi, hasil kerja Audi Mok wajar diberikan pujian. Lagu-lagu Sudirman diberikan nafas baharu, namun masih kedengaran segar malar. Dari aspek kareografi juga tidak kurang hebatnya apabila dalam kebanyakan babak, dapat dikatakan hampir kesemua watak turut menari, malah filem ini menggunakan pendekatan flashmob dalam kareografinya. Justeru, tarian tidak nampak janggal dan tidak kelakar seperti dalam kebanyakan filem muzikal Melayu yang lain.
Hoore! Hoore! bukanlah sebuah naskhah yang sempurna, tetapi sudah cukup baik dan cukup ‘soul’nya. Namun, bagaikan satu stigma, setakat hari ini, filem tersebut tidak mendapat sambutan yang mengalakkan, memandangkan filem ini terpaksa bersaing dengan filem-filem lain seperti The Avengers, Men In Black 3 dan The Lady.
Malah, ketika penulis menonton sendiri filem ini di pawagam, hanya ada empat penonton sahaja yang menonton! Ke mana perginya masyarakat Malaysia? Bukankah Filem Kita Wajah Kita?