top of page

[RESENSI FILEM] THE IMPOSSIBLE : KERANA FILEM ADALAH CERITA BERGAMBAR


Dimulakan dengan latar di dalam perut kapal terbang, sehelai kertas yang jatuh daripada sebuah buku kepunyaan Maria Bennet (Naomi Watts) membawa semiotik kepada makna secebis kisah sebuah keluarga daripada beribu kisah keluarga-keluarga yang menjadi mangsa Tsunami pada tahun 2004.

Keluarga Bennet tiba di Khao Lak, Thailand untuk menyambut Hari Natal dan segala-galanya tenang sehinggalah pada 26 Disember 2004, Maria dan suaminya Henry (Ewan McGregor) sedikit bertelagah dan kemudiannya, Tsunami datang menjarah tanpa sebarang duga.

Perasaan yang bagai menyiat-nyiat hati penonton bermula setelah air laut yang berlumpur itu melitupi seluruh permukaan tanah di pantai Khao Lak. Maria adalah watak yang pertama muncul dari dalam bah tersebut. Kemudian, anak sulung Maria iaitu Lucas (Tom Holland) pula muncul lalu berlakulah adegan-adegan yang menyayat hati apabila Maria dan Lucas, masing-masing berusaha sehabis daya untuk menyelamatkan sesama mereka. Maria dan Lucas cuma memanggil-manggil nama masing-masing dalam bunyi deruan air yang menakutkan. Di sinilah mainan emosi tanpa kata-kata yang panjang menonjolkan peranannya kerana filem adalah penceritaan secara visual. Keadaan bencana, emosi dan fizikal yang berusaha untuk saling menyelamatkan digabungkan menjadi satu rencah yang lengkap.

Antara mise-en-scene lain yang memberi makna semiotiknya yang tersendiri adalah sebatang pohon yang tidak terjejas tegaknya walaupun selepas dilanda Tsunami. Apabila Maria dan Lucas tiba berhampiran pohon tersebut, ada setompok cahaya di sela dedaunnya. Ini memberi makna harapan. Maria dan Lucas juga Daniel, seorang budak lelaki yang sempat diselamatkan oleh mereka berdua memanjat pohon tersebut dan memang benar harapan untuk diselamatkan menjadi kenyataan apabila beberapa orang penduduk tempatan datang menyelamatkan mereka. Adegan Lucas membantu Maria memanjat pohon tersebut juga turut memberi kesan emosi melalui ekspresi wajah Lucas yang menahan sakit dek cengkaman tangan di batang pohon dan berat tubuh ibunya yang tidak tertampung oleh bahu remaja berusia 12 tahun itu.

Henry dan anak-anak lelaki mereka yang lain iaitu Thomas (Samuel Joslin) dan Simon (Oaklee Pendergast) turut terselamat tetapi mereka bertiga terpisah daripada Maria dan Lucas. Henry bertungkus-lumus mencari Maria dan Lucas di kawasan rumah peranginan dan terpaksa menghantar Thomas dan Simon ke tempat perlindungan di kawasan pergunungan. Takdir kisah bergerak seperti helaian kertas yang jatuh dan ditiup angin. Henry yang menumpang sebuah lori berhenti di hospital tempat Maria dirawat serentak dengan lori yang dinaiki oleh Thomas dan Simon, yang terpaksa berhenti kerana Simon sudah tidak tahan lagi untuk membuang air kecil. Lucas yang ternampak kelibat Henry dari belakang, dan percaya bahawa itu ialah ayahnya, mengejar, sehingga dia menjerit memanggil Henry berhampiran lori adik-adiknya. Henry yang sudah mahu meninggalkan kawasan hospital tersebut pula ternampak bola merah yang dihadiahkan kepada Simon pada hari Natal. Mereka berempat bertemu setelah Thomas dan Simon mengenali suara jeritan abangnya dan Henry yang mempercayai kemustahilan takdir yang digantung hanya pada sebiji bola merah akhirnya bertemu ketiga-tiga anak lelakinya.

Apabila Tuhan mahu memberi takdir, takdir akan datang dengan apa cara sekalipun meski manusia tidak akan dapat percaya dan kemustahilan pada pandangan manusia adalah sesuatu yang tidak pernah mustahil pada ketentuan Tuhan. The Impossible berjaya memainkan peranan mise-en-scene dengan berkesan melalui semiotiknya, juga kesan emosi yang mendalam tanpa dialog yang bertele-tele. Cerita yang bermula dengan ‘sehelai’ kisah dan berakhir dengan ‘sebiji’ takdir menjalani kemustahilan yang menepati tajuk filemnya. Dan sehelai serta sebiji itu juga adalah penceritaan visual kerana seperti kata Syd Field, filem adalah cerita bergambar.

  • Di sebalik penggambaran The Impossible --- mata betul-betul ditipu oleh imej janaan komputer dan suntingan yang benar-benar berkesan.

ENTRI UTAMA
ENTRI TERKINI
ARKIB
TAG
No tags yet.
IKUTI KAMI
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page